- Seruan jihad ; Kumpulan militan ISIS mempunyai matlamat jihad yang tinggi iaitu untuk menegakkan negara Islam di samping memartabatkan syariat Islam di atas muka bumi Allah SWT. Pengertian jihad daripada sudut bahasa ialah usaha. Manakala definisi jihad menurut al-Qaradawi (2009) adalah pecahan daripada isim masdar iaitu dari kata jahada-yujahidujihadan- mujahadah. Dalam erti kata lain, jihad ini membawa maksud bersungguh- sungguh untuk menyebarkan dan membela Islam.Oleh itu, al-Qaradawi (2009) membuat tiga pecahan pengertian jihad yang memerlukan usaha seseorang Muslim bagi menentang musuh. Antaranya ialah berjihad melawan musuh yang jelas kezalimannya, berjihad melawan dugaan syaitan dan berjihad melawan hawa nafsu. Jelas di sini menunjukkan sesorang Muslim hendaklah berjihad iaitu berusaha mencurahkan tenaga serta kekuatan untuk menentang kejahatan bermula di dalam diri sendiri sehinggalah pihak musuh yang menceroboh kedaulatan negara serta agama Islam (al-Qaradawi).
Seruan jihad ini telah mendatangkan bahaya kepada umat Islam kerana pembawakan ideologi mereka ini seakan-akan mirip dengan perjuangan yang dibawa oleh Jemaah Islami (JI) di Indonesia, Al-Maunah, Kumpulan Militan Malaysia (KMM).Seruan jihad yang dibawa oleh kumpulan militan ISIS ini menjadi isu yang sangat membimbangkan kerana mereka menggunakan asas agama tuntutan jihad di jalan Allah SWT untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam.Antara sebab umat Islam terpengaruh dengan ideologi seruan jihad ini adalah berperang di Syria merupakan peperangan yang benar di jalan Allah dan mereka dijanjikan syurga bagi sesiapa terkorban di medan peperangan (Dewan Rakyat Malaysia 2014). Bahkan pula kumpulan militant ISIS menyatakan bahawa peperangan di Syria merupakan peperangan akhir zaman yang dikenali sebagai peristiwa Malhamah Kubra. Mereka mengeksploitasikan ayat al-Quran dan Hadis mengenai peristiwa ini mengikut fahaman mereka sendiri dengan mengelirukan orang Islam agar menyertai seruan jihad bersama-sama dengan mereka.
- Menghalalkan darah umat Islam ; Kumpulan militan ISIS terus melakukan kezaliman dengan membunuh umat Islam yang tidak bersamasama dengan perjuangan mereka. Bagi mereka umat Islam yang tidak berpaksikan fahaman ideologi mereka adalah halal untuk dibunuh. Ramai umat Islam yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan apabila mereka membuat pengeboman berani mati di pasar, menyembelih wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah di Syiria (Mohd Hizam & Zamihan 2016). Kekejaman yang dilakukan kumpulan ISIS ini melampau dan tidak berperikemanusiaan.Kumpulan ISIS membunuh dengan memancung kepala dua orang aktivis kemanusiaan Jepun yang membantu rakyat di sana. Pembunuhan itu dilakukan adalah untuk memberi amaran kepada kerajaan Jepun agar mereka tidak campur tangan terhadap krisis yang berlaku di Iraq dan Syria. Selain itu, seorang Muslim ahli Sunni telah dibakar secara hidup-hidup kerana beliau terlibat dalam membuat serangan terhadap kumpulan ISIS. Beliau merupakan seorang juruterbang Jordan yang bernama Mu’az Yusuf al-Kasasibah. Ini adalah sebahagian umat Islam dan bukan negara Islam yang dibunuh adalah kerana mereka menentang ideologi keganasan ISIS. Segala pembunuhan yang dilakukan mereka ini bukanlah diambil daripada media Barat malah kumpulan ISIS itu sendiri bangga menghebahkan perbuatan mereka yang kononnya menegakkan syariat Islam melalui media sosial.
- Umat Islam Wajib Berhijrah ke Daulah Islamiyyah Syria ; Kumpulan ISIS berpegang teguh dengan ideologi bahawa semua umat Islam wajib berhijrah ke negara Daulah Islamiyyah. Hal ini juga ditegaskan oleh kepimpinan tertinggi ISIS Abu Bakar al-Baghdadi agar umat Islam yang berpegang dengan ahli Sunni perlu berhijrah ke Daulah Islamiyyah yang menggunakan sistem Khalifah dan mengamalkan hukum syariat Islam (Zulkarnain 2015). Jelaslah bahawa ideologi kumpulan ISIS ini adalah palsu dan mereka menggunakan nama agama Islam untuk dijadikan sebagai senjata utama bagi menggalakkan umat Islam berhijrah ke Daulah Islamiyyah hasil ciptaan mereka sendiri (Zulkarnain 2015). Mereka juga telah melantik Abu Bakar al-Baghdadi sebagai ketua Khalifah bagi seluruh umat Islam di dunia dan wajib bai’ah kepada beliau. Proses perlaksanaan bai’ah yang dilakukan oleh kumpulan ISIS ini adalah berbentuk secara terang-terangan di media sosial. Mereka juga boleh berba’iah secara berdepan offline mahupun secara atas talian online
Comments
Post a Comment