Dalam kurun ke-15-16 di Eropah, “liberal” bermaksud “tidak terikat”, atau bebas daripada
kekangan dalam bentuk percakapan dan perbuatan. Liberalisme berasal daripada falsafah
humanisme yang mempersoalkan kuasa Gereja semasa zaman Renaissance. Pergerakan yang
benar-benar boleh dinamakan sebagai liberal bermula pada zaman Kebangkitan, secara khasnya,
di kalangan parti Whigs di Britain, ahli-ahli falsafah di Perancis dan pergerakan untuk
pemerintahan sendiri di tanah jajahan atau koloni British di New England (Amerika Utara).
Oleh kerana majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam, maka isu Islam Liberal sentiasa diperbincangkan sejak tahun 2019.
Istilah “Islam liberal” (IL) tidak wajar kita biar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia
bagaikan menggunakan agama sebagai umpan. Islam secara asasnya sudah sedia lengkap, maka
label Islam liberal ini boleh dianggap sebagai satu modus operandi yang biasa digunakan di
dalam penyelewengan aqidah umat Islam. Banyak perkara yang dibawa oleh pemikiran Islam Liberal ini yang bertentangan dengan hukum Islam seperti mengaitkan ajaran agama sebagai tidak adil, mengongkong, ketinggalan zaman, dan Islam Liberal turut memperjuangkan hak untuk murtad.
Golongan liberal
menggunakan jarum halus bersifat psikologikal dan dengan menggunakan media sosial untuk
mempengaruhi masyarakat. Oleh itu, amat perlu kita mengenali Islam Liberal dan berdialog dengan mereka
yang menyokongnya agar mereka keluar daripada penyembunyian di sebalik media-media sosial
yang ada seperti yang berlaku hari ini.
Pemikiran Liberal di Malaysia
Liberalisme merupakan pola pemikiran yang mempromosi kebebasan mutlak sama ada dalam
aspek ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan agama. Pemikiran liberalisme muncul sebagai
reaksi daripada penindasan gereja dan feudalisme terhadap masyarakat Barat sebelum abad
ke 17. Pemikiran liberalisme menolak kuasa agama sebagai pemutus dan pembuat keputusan.
Pemikiran ini bukan sahaja dianuti oleh masyarakat Barat, malah telah mempengaruhi orangorang Islam sehingga muncul pandangan yang menolak autoriti agama dan menuntut
kesamarataan gender seperti harta pusaka, menjadi imam dan wali perkahwinan. Media sosial
antara tempat strategik golongan ini mempromosi liberalisme dengan pandangan yang bebas,
berani dan terbuka. Muncul pandangan yang perjuangkan kebebasan mutlak, keluar dari
lunas-lunas agama, tidak menyokong undang-undang syariah, mempertikaikan peraturan
Islam, mahkamah syariah dan autoriti agama di Malaysia.
Pandangan ini telah mencairkan identiti Islam dengan mencampur adukkan dengan
pemikiran mengikut kerangka Barat sebagai asas pemikiran. Golongan yang mempromosi
pemikiran ini berusaha mentafsir semula Islam sesuai dengan kerangka pemikiran rasional
dan logik tanpa mengambil kira keterangan wahyu dan tuntutan hadis Rasulullah SAW.
Tafsiran semula Islam dibuat mengikut kerangka Barat yang mengagungkan Hak Asasi
Manusia sebagai paksi utama segala tindakan dan keputusan. Pemikiran ini secara langsung
cenderung kepada bentuk-bentuk pemikiran yang dipromosikan oleh Barat pada sekitar
zaman revolusi Perancis dan renaisan yang menyaksikan kebangkitan falsafah dan pemikiran
moden.
Hasilnya muncul humanisme, liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan
lain-lain isme yang meletakkan manusia sebagai paksi membuat keputusan. Pemikiran yang
muncul di Barat kesan daripada penindasan gereja kepada golongan ilmuan, sarjana dan
masyarakat intelektual di Barat telah mempengaruhi pemikiran umat Islam terutamanya yang
berasimilasi dengan Barat dan kagum dengan pemodenisasian yang diperkenalkan di Barat.
Hasilnya lahirlah orang Islam yang berfikir dalam kerangka Barat dan menjadikan Barat
sebagai sumber rujukan dan asas dalam berfikir. Oleh sebab itu, pada tahun 2014,
Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor telah memfatwakan golongan yang berpegang
dengan pemikiran liberalisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada agama Islam.
Pemikiran liberal ini disebarkan melalui wacana pemikiran, tulisan dan rencana dalam
media massa, media sosial dan dialog antara agama yang di adakan di universiti dan lain-lain.
Secara langsung ia mempengaruhi masyarakat Islam terutama belia-belia Islam dengan hujah
rasional dan logik. Kesannya belia hari ini cenderung melakukan perbuatan mengikut
kehendak hati dan logik akal tanpa mengambil kira pendapat agama dan hukum halal dan
haram. Kajian yang dilakukan menunjukkan terdapat belia Islam yang mengakui manusia
berhak membuat keputusan tanpa terikat dengan peraturan agama, bebas melakukan apa
sahaja mengikut kehendak seperti berzina, minum arak dan mengamalkan LGBT dan
bergaul bebas antara lelaki perempuan.
Comments
Post a Comment